Jurukamera wanita TV3  terima Anugerah Kecemerlangan Akademik City University Malaysia

KESUNGGUHAN, disiplin dan komitmen terhadap kecemerlangan akademik membuahkan hasil apabila Norliza Mohd Salleh, pengamal media profesional dan graduan program Master of Creative Industries and Communication (MCIC), merupakan antara penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik (Academic Excellence Award) sempena Istiadat Konvokesyen Ke-29 City University Malaysia, di Petaling Jaya, semalam.

Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap pencapaian akademik cemerlang Norliza sepanjang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana, sekali gus membuktikan bahawa komitmen terhadap kerjaya dan pendidikan tinggi mampu berjalan seiring.

Naib Canselor City University Malaysia, Prof. Dr. Rosnizah Shaari, menyifatkan pencapaian Norliza sebagai contoh terbaik semangat pembelajaran sepanjang hayat dan kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan.

Menurut beliau, “Kejayaan Norliza membuktikan bahawa komitmen terhadap kerjaya bukanlah penghalang untuk seseorang terus menimba ilmu dan mencapai kecemerlangan akademik.

Malah, pengalaman profesional yang dimiliki dapat menjadi kekuatan dalam memperkayakan proses pembelajaran. City University Malaysia amat berbangga dengan pencapaian graduan seperti Norliza yang menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan dan kompetensi diri.”

Sebagai seorang pengamal media yang berpengalaman dalam industri penyiaran, khususnya bersama TV3, Norliza membuktikan bahawa kesibukan dalam dunia profesional bukan penghalang untuk terus menimba ilmu, meningkatkan kemahiran serta memperkukuh pengetahuan dalam bidang komunikasi dan industri kreatif.

Perjalanan beliau sebagai pelajar peringkat Sarjana mencerminkan semangat pembelajaran sepanjang hayat, ketekunan serta keazaman untuk terus berkembang dalam bidang yang diceburi. Kejayaan ini juga menjadi inspirasi kepada golongan profesional lain yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sambil meneruskan komitmen kerjaya masing-masing.

Pencapaian Norliza turut mencerminkan aspirasi City University Malaysia dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik, malah berupaya mengintegrasikan ilmu, pengalaman industri dan kemahiran profesional dalam menghadapi landskap industri kreatif dan komunikasi yang semakin dinamik.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here