YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota tentera yang terkorban akibat terkena letupan ketika menjalani latihan di lapang sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda mendoakan agar keluarga mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi detik sukar itu.
“Al-Fatihah buat dua anggota yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam masa sama, Sultan Ibrahim turut menitahkan ATM menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi perhatian dan diperkukuhkan.
Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan dua anggota maut selepas terlibat dalam insiden letupan semasa latihan membaling grenad dalam Latihan Platun Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri di Kem Hobart kira-kira pukul 10.57 pagi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama RAJD.
Kedua-dua anggota dilaporkan mengalami kecederaan akibat letupan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.






