SEORANG lelaki yang sebelum ini ditahan selepas meminta ‘duit kopi’ RM200 daripada seorang wanita di Kampung Morten, Melaka dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Tertuduh, Muhhamad Nazirul Jasmi, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap mangsa sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan tujuan melakukan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa berusia 36 tahun, meminta wang RM200 untuk mendapatkan semula telefon bimbit miliknya.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 7.15 malam pada 1 September lalu di tepi Sungai Melaka, Kampung Morten, lapor Sinar Harian.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung ibunya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin memohon hukuman lebih berat dikenakan terhadap tertuduh kerana perbuatannya menyebabkan mangsa berasa takut.
Menurutnya, lokasi kejadian juga merupakan kawasan pelancongan dan tindakan sedemikian dikhuatiri boleh mengganggu keselamatan serta ketenteraman pelancong.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkap.
Terdahulu, kejadian itu mendapat perhatian selepas hantaran mangsa di media sosial Threads tular, mendakwa seorang lelaki mengambil telefon bimbitnya sebelum berpura-pura membantu mencarinya.
Selepas telefon bimbit berkenaan ditemui, lelaki terbabit dipercayai meminta wang RM200 sebagai ‘duit kopi’ sebelum meninggalkan lokasi.
Susulan laporan polis dibuat mangsa, polis menahan suspek yang mempunyai 13 rekod kesalahan lampau kerana disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas sebelum ini berkata, suspek warga tempatan itu ditahan selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.





