2 tentera maut latihan bom grenad: Polis rakam keterangan saksi lokasi kejadian

POLIS akan merakam keterangan saksi di lokasi kejadian di Kem Hobart, Gurun bagi membantu siasatan insiden letupan ketika latihan membaling grenad yang mengorbankan dua anggota tentera, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan di bawah klasifikasi kes kematian mengejut (SDR) dan akan mendapatkan kerjasama semua pihak bagi melengkapkan siasatan.

Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari, namun insiden dipercayai berlaku lebih awal semasa latihan sedang berlangsung.

“Setakat siasatan awal, kecederaan yang dialami kedua-dua mangsa adalah dari bahagian pinggang ke atas.

“Kita juga masih belum memperoleh butiran lengkap termasuk jumlah anggota dan pegawai yang berada di lokasi ketika latihan dijalankan dan perkara itu akan diteliti dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan dua anggota yang maut dalam insiden itu ialah Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan akibat letupan semasa pelaksanaan latihan membaling grenad dalam Latihan Platun Tempur RAJD Divisyen Kedua Infantri di lapang sasar Kem Hobart kira-kira pukul 10.57 pagi.

Mangsa kemudian dikejarkan ke HSAH untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Menurut Hanyan, jenazah kedua-dua anggota dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi tujuan bedah siasat.

Sementara itu, TDM memaklumkan siasatan dalaman turut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta menilai semula aspek keselamatan latihan.

Dalam pada itu, seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Norazmi dan Allahyarhamah Prebet Siti Khadijah.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian kedua-dua anggota serta mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dijangka mengadakan sidang media malam ini bagi memberikan perkembangan lanjut siasatan kejadian itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img