SEORANG bapa reda kehilangan anak serta cucunya yang meninggal dunia serentak dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Chini semalam.
Mohd Atan Daud, 67, berkata, ketika kejadian anaknya, Dr Mohamad Zekry Zuhairy, 33, yang bertugas sebagai Ketua Unit Forensik di Hospital Segamat di Johor, isteri dan cucunya dalam perjalanan dari Segamat ke Kuantan.

Menurutnya, turut menaiki kereta itu adalah bapa, ibu mentua Mohamad Zekry Zuhairy iaitu Ibrahim Mat Taib, 80, dan Rose Abdullah, 72.
“Ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke Kuantan untuk melawat kakak ipar mangsa yang bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
“Pada jam 7 malam, saya mendapat maklumat anak saya terbabit dengan kemalangan dan dihantar ke Hopital Pekan,” katanya.

Menurutnya, dia dan isterinya, Rosnah Wahid, 56, bersama seorang anak bergegas ke hospital selepas menerima berita itu.
Katanya, anaknya yang menghubungi pihak hospital berkenaan dimaklumkan Mohamad Zekry Zuhairy dan cucunya, Dhea Sofia, 2, meninggal dunia,” katanya ketika ditemui media di Hospital Pekan hari ini.
Mohd Atan berkata, dia tidak pasti punca sebenar kemalangan itu tetapi dimaklumkan kejadian berlaku kerana sebuah pikap terbabas lalu merempuh kereta dipandu anaknya dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah bertentangan.
Menurutnya, dia menyerah kepada polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika kemalangan menyebabkan anak dan cucunya itu terbunuh kerana kecuaian pemandu lain.
Katanya, menantunya, Dr Hana Ibrahim, 33, kini dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di HTAA akibat cedera parah di muka dan perut.
“Bapa mentua anak saya juga dilaporkan parah dan turut dirawat di hospital yang sama, ibu mentuanya pula dirawat di Hospital Pekan,’ katanya
Mohd Atan berkata, kali terakhir dia bertemu anak dan cucunya itu adalah pada Ahad lalu ketika mereka datang ke rumah.
Menurutnya, ketika kunjungan terakhir itu, anaknya memaklumkan akan membawanya ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada Selasa nanti untuk rawatan susulan kerana mengidap kanser hati.
“Sejak disahkan menghidap kanser hati sejak lima tahun lalu, arwah yang mengatur dan membawa saya ke hospital untuk mendapat sesi rawatan ditetapkan.
Jenazah dua beranak terbabit dituntut keluarga pada jam 11 pagi dan dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah di Rompin.






