JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) disaran menubuhkan sebuah badan khas bagi menjalankan siasatan terhadap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) terutamanya tempoh selepas tahun 2017 hingga 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu dikemukakan secara tidak formal oleh beberapa Ahli Parlimen yang menghadiri Forum Musyawarah Nasional 2.0 – Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di ibu negara hari ini.
Menurut beliau, badan khas berkenaan boleh diletakkan di bawah PAC bagi menjalankan siasatan susulan selepas tempoh yang disentuh dalam dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH.
“Pada hemat saya, ini adalah satu saranan yang harus diikuti agar tidak ada tuduhan penyakauan, sebaliknya sijil bersih yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara yang jelas memperlihatkan bahawa pengauditan yang dilakukan terhadap TH berdasarkan pada aktanya.
“Akta TH menyebutkan bahawa audit yang harus melakukan pengauditannya ialah Jabatan Audit Negara dan inilah yang harus dilihat oleh PAC agar kedua-dua perkara ini dapat membetulkan persepsi dan berdasarkan kepada realiti yang mahu diketahui oleh khalayak umum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, beliau berpandangan cadangan itu wajar diberikan perhatian bagi memastikan penelitian terhadap pengurusan TH dapat dilakukan secara menyeluruh.
Beliau berkata, perkara berkenaan juga tidak perlu dibawa ke Kabinet kerana forum terbabit bertujuan memberikan penjelasan mengenai isu berkaitan TH.
Beliau berkata, PAC dilihat lebih sesuai menjalankan penelitian berkenaan berdasarkan tugas dan tanggungjawab yang sudah ditetapkan kepada jawatankuasa Parlimen itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut menghadiri forum berkenaan bersetuju jika RCI baharu diwujudkan atau ia dibawa kepada PAC.
Katanya, siasatan lanjut diperlukan untuk meneliti perkara yang berlaku selepas tempoh diliputi RCI terdahulu, selain menjelaskan percanggahan dalam beberapa dapatan berkaitan pengurusan TH.
“Oleh sebab itulah saya bersetuju dengan cadangan seorang peserta tadi supaya RCI baharu perlu diadakan untuk menyiasat kedudukan Tabung Haji ini daripada tahun 2019 atau 2018 sehingga kini,” katanya yang juga Setiausaha Agung Pas.





