TAKTIK ‘Gaslighting’ dan penyebaran kandungan berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja) antara taktik digunakan pihak tidak bertanggungjawab sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lagi bagi mencetuskan kecaman serta mengelirukan masyarakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, taktik penyamaran antara modus operandi digunakan pemilik akaun palsu bagi mewujudkan persepsi seolah-olah sesuatu kenyataan dibuat individu atau organisasi sebenar.
Menurut beliau, setakat ini lebih 1,800 akaun palsu dikenal pasti, majoritinya melibatkan platform Facebook dan TikTok.
“Kita nampak banyak daripada kandungan 3R menggunakan akaun palsu. Beberapa akaun yang kita lihat dia cuba menyamar sebagai organisasi yang benar ataupun individu yang sebenar tapi mereka mewujudkan akaun.
“Pihak ini akan buat posting, lepas tu akan delete akaun dan delete post tapi mereka snap gambar dan sebarkan seolah-olah akaun itu yang sebenar membuat sebaran,” katanya kepada media ketika menghadiri Program Komuniti Kasih MADANI di IWK Eco Park, Pantai Dalam di Lembah Pantai, Kuala Lumpur hari ini.
Gaslighting adalah satu bentuk penderaan emosi dan manipulasi psikologi dalam media sosial di mana seseorang secara sengaja memesongkan fakta, menafikan kebenaran, atau memutarbelitkan realiti.
Fahmi memberitahu, pihaknya turut melihat peningkatan mendadak kewujudan akaun palsu yang bukan sahaja melibatkan isu 3R malah turut membabitkan penipuan dan judi dalam talian.
“Mesej yang kita nak sampaikan bukan semua yang buat post dalam media sosial ini orang yang sebenar. Kadang-kadang namanya Melayu tapi orang di sebaliknya bukan. Kadang-kadang rupanya seperti lelaki tapi yang mengendalikannya bukan,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengakui terdapat musuh politik cuba menggunakan pendekatan gaslighting dengan sengaja mengeluarkan kenyataan bagi mendapatkan kecaman umum.
“Ada. Kita nampak memang ada beberapa pihak yang cuba gaslighting. Dia sengaja mengeluarkan kenyataan untuk mendapatkan kecaman umum yang membuat komen asal itu adalah akaun palsu ataupun bukan orang sebenar,” katanya.






