Akmal,Noor Helmy serah pengundi nilai rekod perkhidmatan

PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 Ketua Pemuda UMNO dan Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Dr.Muhamad Akmal Saleh berhadapan pertandingan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Beliau ditentang oleh Calon Pakatan Harapan (PH) Azrin Ab Majid dan Abd Alim Shapie dari Perikatan Nasional (PN), bagaimanapun Akmal berjaya melepasi cabaran itu apabila menang dengan majoriti 3,248 undi.

DI DUN Duyong pula, pada PRN yang sama, sahabat beliau, Mohd Noor Helmy Abdul Halem  menang tipis dengan majoriti 200 undi selepas ‘bertarung’ dengan lima calon lain iaitu Damian Yeo Shen Li (PH), Kamarudin Sidek (PN), Gan Tian Soh (Bebas), Muhamad Hafiz Ishak (Bebas) dan Mohd Faizal Amzah (PUTRA).

Pada PRN Melaka 2026, kedua-dua mereka yang disifatkan sebagai pelapis kepimpinan BN di negeri itu diberikan tanggungjawab untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Berbanding PRN 2021, kali ini kedua-duanya berhadapan pertandingan satu lawan satu dengan calon daripada Pakatan Harapan (PH).

Dr Muhamad Akmal akan berhadapan dengan Ketua Wanita Amanah Melaka Rahayu Hamzah manakala Mohd Noor Helmy dicabar Poo Long Suan.

Sememangnya dua DUN  ini dianggap antara kerusi tumpuan disebabkan kedua-dua mereka adalah pemimpin muda harapan BN Melaka.

Walaupun rata-rata menganggap Dr.Muhamad Akmal mendapat lawan yang mudah,  beliau tidak meletakkan sasaran memperoleh majoriti besar , sebaliknya menyerahkan kepada pengundi untuk menilai khidmatnya sepanjang 11 bulan sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata keutamaan adalah memastikan amanah yang diberikan, dilaksanakan sebaik mungkin manakala keputusan pengundi kelak akan menentukan sama ada khidmatnya terus mendapat kepercayaan.

“Kalau mereka rasa perkhidmatan saya tidak bagus, saya jujur kata jangan undi saya. Tetapi kalau rasa perkhidmatan saya bagus dan memuaskan hati, saya mohon kepercayaan sekali lagi,” katanya.

Mengulas cabaran sepanjang tempoh kempen, Ketua Pemuda UMNO itu berkata beliau tidak mempunyai masalah berdepan kritikan dan pelbagai dakwaan pihak lawan kerana percaya pengundi mampu menilai sendiri setiap maklumat yang disampaikan.

Beliau turut menyeru semua jentera parti yang bertanding supaya berkempen secara matang dan berhemah serta mengelakkan provokasi, fitnah dan kata-kata yang boleh memburukkan pihak lain.

Seperti juga Dr.Muhamad Akmal, Mohd Noor Helmy turut mempertaruhkan rekod perkhidmatannya sepanjang tempoh lima tahun lepas dalam usahanya mempertahankan kerusi itu DUN Duyong.

Menyatakan kesediaan menghadapi pertandingan satu lawan satu bagi kerusi itu, beliau berkata tempoh kempen selama 14 hari akan turut dimanfaatkan sebaiknya untuk mengetengahkan hasil kerja dan pencapaian kerajaan negeri.

“Tiba masanya rakyat akan menilai hasil, apa yang telah diberikan sepanjang lima tahun pentadbiran di bawah kepimpinan (Ketua Menteri) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon DUN Duyong di Dewan Kompleks Japerun Duyong, Melaka.

Mengulas calon PH, Poo Long Suan, Mohd Noor Helmy, 45, mengakui bakal berdepan saingan sengit memandangkan pencabarnya merupakan bekas Ahli Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya yang berpengalaman.

Bekas Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri itu bagaimanapun menyambut baik persaingan berkenaan dan menyifatkannya sebagai pertandingan sihat yang memberikan ruang kepada kedua-dua calon menawarkan khidmat terbaik kepada masyarakat.

“Pastinya beliau akan memberikan satu cabaran dan tentangan yang hebat dalam persaingan sihat kita pada pilihan raya kali ini. Paling utama, kita bersama jentera yang sememangnya sudah siap sedia ini akan berkempen secara sihat dan matang,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here