Bank Negara perkenal kemudahan bantuan penstabilan, PKS layak dapat pembiayaan sehingga RM750,000

BANK Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility – SME SRF) bernilai RM5 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk mikro, yang terkesan akibat konflik berterusan di Asia Barat serta tekanan ekonomi global.

Dalam satu kenyataan, BNM memaklumkan, di bawah kemudahan itu, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM750,000 dengan tempoh sehingga lima tahun, pada kadar maksimum 3.75 peratus setahun (termasuk fi jaminan).

‘’Sebahagian PKS dalam sektor tertentu kini berdepan gangguan operasi, tekanan aliran tunai serta kesukaran memenuhi obligasi kewangan jangka pendek,’’ kata kenyataan itu.

BN memberitahu, kemudahan berkenaan dilaksanakan susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi meja bulat bersama ketua-ketua eksekutif institusi kewangan pada 21 April lalu.

“SME SRF akan menyediakan sokongan modal kerja tepat pada masanya bagi membantu perniagaan yang berdaya maju mengekalkan operasi serta mengharungi tempoh ketidaktentuan ini,” menurut kenyataan itu.

BNM berkata, pembiayaan tersebut turut disokong jaminan sehingga 80 peratus oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), khususnya bagi PKS yang tidak mempunyai cagaran mencukupi.

‘’Permohonan bagi kemudahan itu dibuka bermula 15 Mei hingga 31 Disember 2026, atau sehingga dana habis digunakan. PKS boleh memohon terus melalui institusi kewangan yang mengambil bahagian termasuk bank komersial, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan di bawah seliaan BNM,’’ kata kenyataan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, BNM menggalakkan perniagaan yang sedang atau dijangka berdepan kesukaran kewangan supaya berhubung lebih awal dengan institusi kewangan masing-masing bagi mendapatkan penyelesaian bersesuaian.

Langkah itu kata BNM ia membolehkan bank mempertimbangkan bantuan seperti fleksibiliti bayaran balik, penstrukturan semula pembiayaan atau sokongan bersasar bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Institusi kewangan, kata BNM, bersedia untuk bekerjasama secara konstruktif dengan PKS yang terjejas sepanjang tempoh mencabar ini.

‘’Selain itu, PKS turut digalakkan mendapatkan khidmat nasihat kewangan serta bantuan pengurusan hutang melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menerusi Program Pengurusan Hutang (DMP) untuk individu dan pemilik tunggal, serta Skim Penyelesaian Hutang Kecil (SDRS) untuk PKS,’’ kata BNM.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img