AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengingatkan semua kakitangan dan pegawainya agar menjauhi amalan rasuah serta salah laku khususnya membabitkan mereka yang bertugas di pintu masuk negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran keras kepada pegawai serta anggota AKPS berhubung amalan negatif itu sambil menyifatkan isu integriti masih membelenggu pasukan berkenaan dan menjadi ‘duri dalam daging’ terhadap agensi berkenaan.
Mendedahkan tindakan tegas yang diambil, beliau berkata, lima pegawai sudah ditamatkan perkhidmatan walaupun AKPS baru beroperasi kurang daripada setahun.
“Selain itu, seramai 15 anggota sedang berdepan prosedur tata tertib, manakala 50 lagi masih dalam siasatan aktif,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan AKPS di Putrajaya hari ini.
Justeru bagi menangani kepincangan disiplin secara menyeluruh, Mohd Shuhaily berkata, pihak veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diarah memainkan peranan lebih besar di pintu masuk utama negara.
Beliau bagaimanapun menekankan bahawa statistik pembuangan kerja bukanlah Indeks Prestasi Utama (KPI) yang disasarkannya.
“Adalah menjadi hasrat saya untuk mengurangkan jumlah mereka yang dibuang kerja, kerana matlamat utama kita adalah memastikan budaya rasuah dan salah guna kuasa dinoktahkan sepenuhnya dalam AKPS,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Shuhaily berkata, AKPS mencadangkan perolehan senjata api jenis Glock untuk kegunaan pasukan penguat kuasa itu.
Beliau berkata, kerajaan secara dasarnya telah bersetuju untuk membekalkan kemudahan itu bagi kelancaran tugas dan memastikan keselamatan anggota terjamin, manakala pemilihan model Glock dibuat berdasarkan spesifikasinya.
“Kita mahu senjata yang mudah diselenggara dan tidak menelan kos besar. Umum sedia maklum, pistol jenis Glock kurang penyelenggaraan dan lasak. Itu yang kita minta,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM22 juta bagi melengkapi AKPS dengan senjata api dan kelengkapan yang bersesuaian.






