AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menzahirkan rasa dukacita atas kematian seorang pegawai wanitanya yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan oleh suaminya dalam kejadian di kuarters kakitangan kerajaan di Nilai malam tadi.
Ucapan takziah itu disampaikan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bersama seluruh warga agensi berkenaan menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi AKPS.
Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, merupakan Pegawai Kastam Gred WK1 yang kemudiannya bertukar ke skim AKPS sebagai Pembantu Penguasa Sempadan KS1 dan berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menerusi hantaran berkenaan, AKPS menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat rakan sekerja dan seluruh warga agensi yang mengenali serta pernah berkhidmat bersama beliau.
“Pemergian beliau amat dirasai rakan sekerja dan seluruh warga AKPS. Semoga segala jasa, pengorbanan dan kebaikan Allahyarham sepanjang perkhidmatan menjadi amal jariah yang berpanjangan,” menurut kenyataan itu.
AKPS turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, selain berharap seluruh ahli keluarganya diberikan kekuatan serta ketabahan untuk menghadapi kehilangan tersebut.
“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan ini. Al-Fatihah,” katanya.
Dalam kejadian berkenaan, Allahyarham dipercayai dibunuh suaminya ketika berada di kediaman mereka di kuarters kerajaan kira-kira jam 7 malam.
Suspek yang berusia lingkungan 30-an dilaporkan ditahan selepas dipercayai menyerah diri di balai polis. Dia yang kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dikatakan menghubungi keluarga mangsa sejurus selepas kejadian.




