Mohd Shuhaily jelaskan video tular berlaku ketika operasi tahan ‘ulat’ warga asing

KETUA Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan bahawa kejadian yang dirakam dan tular dalam media sosial berlaku ketika operasi pemantauan terhadap kegiatan ‘ulat’ warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut beliau, pemeriksaan itu dilakukan selepas pihaknya menerima beberapa aduan berhubung kegiatan berkenaan.

Katanya, beliau bersama pasukan sebelum itu sedang membuat pemantauan persiapan menjelang perlumbaan Formula 1 (F1) hujung minggu ini sebelum meneruskan pemeriksaan terhadap aktiviti ‘ulat’.

“Ketika itu, kebetulan perkara yang kita terima melalui aduan berlaku di depan mata.

“Kita kemudian menahan seorang individu yang disyaki terlibat dalam sindiket ‘ulat’ warga asing sebelum membawanya ke bilik pemeriksaan bagasi milik Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC),” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini, lapor Sinar Harian.

Sidang media itu bagi menjelaskan penyebaran satu video yang memaparkan individu mirip Mohd Shuhaily sedang berdepan dengan seorang lelaki, selain kelihatan memegang kepala individu berkenaan.

Terdahulu, turut tersebar dakwaan daripada seorang individu yang membuat laporan polis mendakwa dia dikasari dalam kejadian tersebut.

Mohd Shuhaily berkata, ketika proses pemeriksaan dan temu bual dijalankan, operasi berkenaan membabitkan anggota AKPS bersama AVSEC KLIA.

Beliau berkata, pegawai AKPS kemudian mendapati dua individu berkenaan sedang merakam kejadian menggunakan telefon bimbit masing-masing.

“Arahan diberikan supaya rakaman itu dipadam dan saya telah memberikan amaran yang paling tegas,” katanya.

Mengulas penyebaran video berkenaan, Mohd Shuhaily menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menentukan perkara sebenar, termasuk menyiasat bagaimana rakaman itu diperoleh dan disebarkan.

Beliau berkata, rakaman yang tular itu dipercayai bukan rakaman asal, sebaliknya telah dirakam semula menggunakan peranti lain sebelum tersebar di media sosial.

“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai tujuan rakaman itu dibuat atau siapa yang menyebarkannya. Perkara itu saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan dua laporan polis telah dibuat berkaitan kejadian itu, termasuk satu laporan yang dibuat sekitar jam 5 pagi semalam.

Menurutnya, laporan turut dibuat oleh beliau dan pasukannya susulan kebimbangan mengenai usaha yang mungkin memberi kesan kepada reputasi AKPS serta dirinya.

“Saya dan pasukan berbincang sebelum membuat laporan polis berhubung kemungkinan terdapat usaha untuk mencemarkan nama atau imej AKPS secara keseluruhan dan khususnya nama saya,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai dakwaan berlaku sentuhan fizikal dalam kejadian berkenaan, Mohd Shuhaily memilih untuk tidak memberikan ulasan lanjut.

Beliau berkata, perkara tersebut wajar ditentukan menerusi siasatan pihak berkuasa dan bersedia menerima apa juga keputusan yang dibuat berdasarkan hasil siasatan.

“Saya tidak mahu mengulas sama ada kontak itu berlaku atau tidak kerana akhirnya ia akan menjadi ‘my words against his word’ dan perkara ini tidak akan selesai,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here