SEORANG aktivis direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes ugutan terhadap seorang lelaki menerusi laman Facebook pada Mac lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, permohonan dibuat pagi ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Naeilah Nikrul Tarmizi dekat Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
“Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama dua hari bermula hari ini sehingga 20 Julai depan bagi membantu siasatan kes yang dihadapinya.
“Polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki berketurunan India kira-kira jam 6.25 petang pada 10 Mac lalu yang mendakwa diugut suspek di Facebook,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Terdahulu, suspek yang aktif memperjuangkan isu rumah ibadat di media sosial tiba di Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira jam 9.40 pagi dengan diiringi anggota polis.
Menurut keterangan kes, pengadu mendakwa menerima mesej daripada satu akaun Facebook yang dipercayai milik suspek yang mengandungi cabaran untuk bergaduh serta unsur ugutan.
Pengadu menyatakan dia tidak berniat menimbulkan sebarang pergaduhan, namun berasa bimbang terhadap keselamatan dirinya dan keluarganya, lalu membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Alzafny berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Media semalam melaporkan polis mengesahkan seorang aktivis yang dikatakan melarikan diri ke luar negara susulan kes ugutan menerusi Facebook menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
Lelaki berusia 33 tahun itu semalam membuat pengakuan akan menyerahkan diri kepada polis selepas lima bulan berada di luar negara.
Dia mendakwa datang ke Port Dickson kerana menyokong rakannya yang bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung.






