PEMANDU Mercedes-Benz A250 yang disyaki memandu secara melulu dan berbahaya hingga berlaku kemalangan meragut empat nyawa di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang semalam, direman dua hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini.
Perintah reman ke atas suspek berusia 19 tahun yang juga penuntut sebuah universiti di Singapura itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno bermula hari ini hingga esok.
Permohonan reman juga diperlukan bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seksyen 42 (1) memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.
Suspek berusia 19 tahun dipercayai individu yang memandu secara berbahaya bersama abangnya berusia 22 tahun yang memandu BMW 530e hingga menyebabkan kemalangan pada jam 1.15 petang semalam.
Polis hari ini mengesahkan abang suspek memandu BMW 530e turut maut apabila kenderaannya memasuki gaung dalam kejadian itu.
Terdahulu suspek tiba di pekarangan mahkamah pada jam 10.20 pagi sebelum dibawa ke kamar untuk perintah reman.
Berlaku kekecohan seketika apabila peguam suspek bertindak menghalang jurugambar merakam gambar lelaki terbabit sebaik dibawa turun dari trak polis.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga Semek Mat Soh, 73, anak dan menantu, Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33, serta Nur Airish Syifa Sidek, 10, maut dalam nahas terbabit.
Kesemua mereka yang maut dilaporkan dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke Kota Tinggi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata polis meminta orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-778 4222, 07-776 6822 (hotline), 07-778 4256 atau 014-36 5682.


