PEMILIK sebuah rumah di Kuala Pilah dan sebuah kedai di Pekan Tampin terkejut apabila menemui kepala khinzir ditinggalkan di hadapan premis mereka.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati, kedua-kedua kejadian berlaku pada awal pagi Khamis sekitar jam 1 pagi.
“Mangsa dalam kejadian adalah dua lelaki yang mempunyai pertalian antara satu sama lain.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua kejadian mempunyai kaitan dan bermotifkan masalah peribadi antara mangsa dengan suspek yang disyaki pemberi wang tidak berlesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut turut mendapati kejadian itu bukan bersifat kebencian terhadap agama oleh mana-mana individu, tetapi disyaki bagi memberi tekanan kepada mangsa untuk melunaskan bayaran hutang along.
Beliau berkata, suspek dipercayai individu sama yang pernah menyimbah cat di kedai berkenaan sebelum ini.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan bagi membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.
“Kedua-dua kesalahan ini jika disabitkan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.


