Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaaan dipindahkan ke PICC

MAJLIS Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada jam 9.30 malam Ahad ini akan dipindahkan dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya berikutan keadaan jerebu ketika ini.

Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat sebagai langkah penyesuaian mengambil kira perkembangan semasa, khususnya bagi memastikan keselamatan, kesihatan serta keselesaan tetamu dan orang ramai di samping menjamin kelancaran pelaksanaan majlis.

“Pemindahan lokasi ini tidak menjejaskan pengisian dan semangat sambutan Hari Kebangsaan 2026, sebaliknya merupakan langkah bertanggungjawab bagi memastikan majlis dapat dilaksanakan dalam persekitaran yang lebih terkawal dan selesa.

“Kerajaan akan terus memantau keadaan jerebu dan perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, keputusan berkaitan pelaksanaan acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan ditentukan berdasarkan penilaian keadaan semasa serta nasihat dan pandangan pihak Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap situasi terkini keadaan jerebu serta mendapatkan maklumat dan nasihat kesihatan melalui saluran rasmi KKM,” kata kenyataan itu lagi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here