
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan dakwaan sogokan kepada pengundi yang dikaitkan dengan parti itu sebagai tuduhan tidak adil.
Tegasnya, tuduhan tidak sepatutnya bertumpu kepada satu parti kerana tiada siapa yang tahu dalang di sebalik sogokan itu.
“Sampai sekarang, kita tidak tahu siapa yang melakukan sogokan itu. Saya rasa tuduhan Datuk Jalal (Datuk Seri Jalaluddin Alias) semalam tidak harus menumpu kepada satu parti politik.
“Sehingga ke hari ini, kita tidak tahu siapa yang melakukannya,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 di Port Dickson hari ini.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, tindakan menyogok adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam pilihan raya.
“Saya lihat ada beberapa pihak yang membuat laporan berhubung perkara ini dan mungkin ia dalam siasatan pihak polis.
“Kita tidak boleh kata dengan jelas bahawa ia daripada sesuatu pihak kerana mungkin itu adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak tertentu.
“Saya sendiri nampak (maklumat tular) semalam. Daripada gambar itu, saya pun boleh tuduh. Kalau kita asyik tuduh-menuduh, perkara itu tidak akan selesai. Lebih baik siasat dan tunjukkan bukti,” katanya.
Sebelum ini, Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mendakwa ada pihak di Jelebu menawarkan sejumlah wang supaya mengundi sebuah parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan berlangsung Sabtu ini.
Jalaluddin dilaporkan berkata, perkara sama dikatakan berlaku di beberapa lokasi lain dan turut tersebar dalam media sosial.






