SPRM tubuh pasukan khas semak dan teliti laporan RCI Tabung Haji

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam.

Menurut kenyataan suruhanjaya itu, susulan pendedahan tersebut, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar telah dilantik mengetuai pasukan khas berkenaan.

Katanya, pasukan khas itu akan meneliti sebarang isu perundangan melibatkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram mengikut Akta SPRM 2009 ( Akta 694) dan AMLATFPUAA 2001( Akta 613) atau mana-mana kesalahan yang berkaitan.

“SPRM komited untuk memastikan setiap isu yang dibangkitkan melalui laporan tersebut diteliti dengan sewajarnya dan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat.

“Adalah ditegaskan bahawa, SPRM sentiasa menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan integriti didalam melaksanakan tanggungjawab selaras dengan usaha berterusan memperkukuh tadbir urus negara tanpa campur tangan dari mana-mana pihak,” kata kenyataan dikeluarkan SPRM hari ini.

Justeru, kerjasama daripada orang ramai diharapkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai apa jua isu sehingga siasatan dapat dilengkapkan sepenuhnya.

Krisis kewangan TH yang bermula dengan isu ketidakpadanan aset dan liabiliti membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar, sebelum disusuli penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Jemaah Menteri semalam bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI itu kepada umum, selain memutuskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa diteruskan berdasarkan dapatan laporan berkenaan.

Laporan itu menggariskan 25 syor penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripadanya, manakala agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan institusi itu kini berada dalam keadaan lebih baik.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img