POLIS Kelantan mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud akan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, petang ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kehadiran wakil rakyat itu adalah bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang didakwa memperlekeh tugas pasukan polis.
“Insya-Allah petang ini akan diambil keterangan,” katanya ringkas ketika dihubungi, lapor TV3.
Sebelum ini, polis Kelantan membuka kertas siasatan terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan memperlekeh pasukan keselamatan susulan penularan video berkaitan penganjuran konvoi motosikal, petang kelmarin.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Konvoi bertemakan ‘Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB YB’ anjuran Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan Pemuda PAS Kelantan itu mencetuskan kecaman di media sosial selepas atur cara program menyenaraikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa sebagai antara lokasi yang akan dikunjungi.
Konvoi yang diketuai Wan Rohimi itu bermula kira-kira pukul 5 petang dari Kota Lama menuju ke LTSIP sebelum ke Bandar (belakang AEON Mall).
Bagaimanapun, konvoi berkenaan tidak memasuki kawasan lapangan terbang tersebut, sebaliknya hanya melalui hadapan premis sebelum meneruskan perjalanan ke Pantai Sabak selepas pihak berkuasa berada di pintu masuk lokasi berkenaan.


