MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini menafikan Pakatan Harapan (PH) telah mengadakan kerjasama dengan Bersatu dan menegaskan tiada perbincangan atau ketetapan dibuat dengan parti tersebut.
Naib Presiden PKR itu berkata, segala bentuk kerjasama perlu diteliti secara rasional pada peringkat Pusat dengan mengambil kira faktor tertentu meliputi aspek tempoh untuk diadakan pilihan raya dan lain-lain perkara.
“Sudah pasti saya tidak boleh membuat keputusan sendirian kerana saya turut bertanggungjawab dengan kepimpinan pada peringkat Pusat.
“Jadi kalau ada perbincangan (pada peringkat PH Selangor) dan saya akan bawakan ke peringkat pusat. Yang ada baru idea luar ataupun pandangan, dan ini mungkin disebabkan oleh beberapa penjajaran politik pada peringkat nasional ataupun peringkat Pilihan Raya Negeri yang berlaku,” katanya.
Amirudin yang juga Ahli Majlis Presiden PH berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia II (HEIC-II) 2026 di Bangi hari ini.
Menurut beliau, PH memberi penekanan kepada dua prinsip iaitu kestabilan politik dan kepentingan rakyat sebagai syarat untuk menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan mana-mana parti atau gabungan.
Beliau memberitahu, pihaknya sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama atau sebarang persefahaman dengan parti atau gabungan yang menerima pakai dua prinsip berkenaan.
“Kerjasama dengan mana-mana pihak bukan sahaja dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pun boleh difikirkan kalau akhirnya saya sebut tadi, prinsipnya adalah untuk kestabilan politik dan kebaikan rakyat,” katanya.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan PH Selangor dilihat tidak menolak kemungkinan gabungan itu bekerjasama dengan Bersatu terutama di negeri ini.
Jajaran itu dipercayai untuk memastikan kedua-dua parti berkenaan terus relevan dan kuat dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menggamatkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor apabila memanggil Amirudin sebagai ‘adinda’ ketika sesi perbahasan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
“Amirudin adalah adindaku, Ng Suee Lim (Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan) adalah sahabatku, George (ADUN Sentosa) adalah temanku. Amanah adalah peganganku. Kekal tenang adalah prinsip aku. Kak Yam (ADUN Mariam Abdul Rashid) kenalanku.
“Marilah kita wujudkan Selangor yang semakin sukses dan baik di masa depan. Maju negerinya, sejahtera rakyatnya, bersatu kita rakyat Selangor,” ucap Mohamed Azmin dalam perbahasan itu pada Persidangan DUN Selangor di Shah Alam hari ini.
Penutup perbahasan yang dilihat ‘mesra’ kerajaan negeri itu bukan sahaja menggamatkan dewan malah mengejutkan pihak media yang membuat liputan susulan desas-desus penjajaran politik baharu di Selangor.





