DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon semua pihak mendoakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan kesembuhan, selepas selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).
Timbalan Perdana Menteri berkata, sepanjang tempoh ketiadaan Perdana Menteri, beliau telah diminta Anwar untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
“Kita sama-sama doakan agar kesembuhan dapat memberikan keselesaan pada beliau untuk terus bertugas untuk negara demi rakyat keseluruhannya.
“Walau sekecil mana pun, beliau memerlukan ‘down time’ sekurang-kurangnya dua hari, tetapi pada hemat saya, beliau memerlukan waktu rehat yang secukupnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) di Kampung Orang Asli Air Banun di RPS Banun, Hulu Perak hari ini.
Terdahulu, Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah memaklumkan, prosedur pembedahan itu berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan.
Anwar kini menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik.





