“AMPUNKAN dosa ibu” menjadi antara permintaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada orang ramai selepas selesai solat jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah di Seri Kembangan petang ini.
Mukhriz turut memohon agar segala kesilapan atau salah laku yang mungkin dilakukan ibunya sepanjang hayat dimaafkan.
“Jika ada apa-apa kesilapan atau salah laku daripada pihak beliau, ampun dan maaf kami pinta.
“Selain itu, sekiranya ada hutang piutang yang belum selesai, sila berurusan dengan kami pihak keluarga. Insya-Allah, kami akan menyelesaikannya sebaik mungkin,” katanya.
Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, keluarga turut bersedia mengambil tindakan bagi menyelesaikan sebarang tuntutan hutang tertunggak yang melibatkan Allahyarham.
Permintaan berkenaan disampaikan selepas lebih 2,000 jemaah menunaikan solat jenazah buat Allahyarhamah yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi tadi.
Solat jenazah dilaksanakan sebanyak dua kali, dengan solat pertama diimamkan Imam Masjid As-Syarif, Ustaz Muhammad Danial Hussan, manakala solat kedua dipimpin wakil keluarga, Ustaz Basyir.
Upacara solat jenazah selesai kira-kira jam 5.15 petang sebelum jenazah dibawa ke Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya untuk disemadikan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Suasana penuh hiba turut dirasai di masjid apabila ahli keluarga, pemimpin politik, sahabat dan orang ramai hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Antara yang hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut kelihatan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Tun Dr Siti Hasmah, 100, merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Pasangan berkenaan dikurniakan tujuh cahaya mata termasuk Marina, Mokhzani dan Mukhriz.





