Jenazah Tun Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara

JENAZAH Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selamat dikebumikan di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya lewat petang ini.

Pengebumian Allahyarham diberi penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

PENGEBUMIAN jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya petang ini. GAMBAR: Nurul Shafina Jemenon

Istiadat pengebumian diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat membabitkan lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Suasana hiba menyelubungi Pusara Negara ketika istiadat pengebumian berlangsung, dengan penghormatan terakhir diberikan kepada Allahyarham oleh pemimpin yang hadir serta orang ramai.

PENGEBUMIAN jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya petang ini. GAMBAR: Nurul Shafina Jemenon

Selesai pengebumian, istiadat diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Abd Shukor Mahmood.

TUN Dr Mahathir Mohamad pada pengebumian jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya petang ini. GAMBAR: Nurul Shafina Jemenon

Talkin kemudiannya disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.

Istiadat itu selesai sekitar jam 6.40 petang.

Sebelum itu, suasana pilu menyelubungi Pusara Negara ketika istiadat pengebumian berlangsung dengan penghormatan terakhir diberikan kepada Allahyarham yang juga tokoh perubatan negara.

ORANG ramai menyiram air mawar dan menabur bunga di pusara Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selepas selesai upacara pengebumian di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya petang ini. GAMBAR: Nurul Shafina Jemenon

Allahyarham Dr Siti Hasmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi.

Jenazah dibawa pulang ke kediamannya di The Mines, Seri Kembangan pada jam 10.48 pagi sebelum disolatkan di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun.

Allahyarham adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara selain turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here