JEMAAH Menteri telah mengarahkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ditempatkan dalam pengendalian kawalan keselamatan penerbangan di lapangan terbang susulan penilaian semula aspek keselamatan berikutan penahanan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines Berhad (MAS) di Jakarta, baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MoT) mengenai insiden itu.
Menurut beliau, ketika ini urusan keselamatan penerbangan dikendalikan oleh polis bantuan dan langkah penempatan anggota PDRM adalah antara penambahbaikan yang dipersetujui kerajaan.
“Pertama, yang melibatkan keselamatan penerbangan awam (aviation security) yang perlu ditempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana pada waktu ini pasukan yang menguruskan adalah dari kalangan polis bantuan,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, PDRM mendedahkan juruterbang Malaysia yang ditahan didakwa menyeludup dadah ke Indonesia pada Rabu lalu, dipercayai mendapatkan dadah dari ibu negara, sebelum berlepas ke Kota Kinabalu dan Jakarta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, suspek kemudiannya mendaftar masuk bagasinya pada awal pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Fahmi, Malaysia Airlines Group (MAG) turut diminta menyemak semula protokol saringan latar belakang dan saringan kesihatan juruterbang serta pembantu juruterbang dengan mengambil kira insiden yang berlaku.
Katanya, PDRM, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta KDN turut diarahkan meneliti sebarang kelompongan yang mungkin boleh disalahguna supaya tindakan penambahbaikan dapat dilaksanakan segera.
Ketika ditanya mengenai cadangan penubuhan pasukan petugas khas bagi menangani isu dadah susulan kes berkenaan, Fahmi berkata, kerajaan masih menunggu laporan penuh daripada Menteri Pengangkutan dan Menteri Dalam Negeri memandangkan siasatan di Indonesia masih berjalan.
“Kita akan teliti, pertimbang tindakan-tindakan susulan selain daripada apa yang saya sebutkan di awal tadi, selepas kita mendapat laporan penuh mengenai kejadian tersebut.
“Kita perlu tahu siapa lagi yang kemungkinan terlibat. Mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu kita ambil untuk pastikan kelompangan dapat ditutup dengan segera,” katanya.
Menurut Fahmi, cadangan untuk menghidupkan semula Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Khas Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.






