INSIDEN tembakan yang menyasarkan kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam menjadi bukti jelas bahawa pasukan penguat kuasa negara sentiasa berdepan risiko tinggi ketika melaksanakan tugas.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kejadian itu menunjukkan anggota penguat kuasa bukan sahaja mempertaruhkan keselamatan diri, malah turut berdepan ancaman.
“Ini membuktikan pasukan penguat kuasa sentiasa mengambil risiko terhadap nyawa mereka. Tidak mustahil ancaman itu turut melibatkan ahli keluarga atau kenalan apabila mereka bertindak tegas terhadap kumpulan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada program walkabout Bazar Ramadan Pantai, hari ini, ketika ditanya mengenai insiden tembakan yang berlaku membabitkan pegawai AKPS di Bukit Kayu Hitam semalam.
Fahmi dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Komander AKPS terbabit atas ketegasan melaksanakan tanggungjawab, selain menggesa rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada semua agensi penguat kuasa negara.
Beliau berkata, pelbagai kejayaan dicapai kebelakangan ini oleh badan penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, PDRM berjaya menumpaskan kartel penyeludupan dadah bernilai RM244 juta di Pelabuhan Klang dan Sepanggar, manakala SPRM pula membanteras sindiket penipuan berkaitan Menteri Besar Incorporated (MBI).
“Badan penguat kuasa menjalankan tugas yang berat dan berisiko. Justeru, rakyat perlu terus memberi sokongan dan dukungan kepada mereka demi keselamatan negara,” katanya.
Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada ketika menyebarkan maklumat di media sosial agar tidak mengaibkan mana-mana pihak atau menjejaskan operasi penguatkuasaan.
Beliau menegaskan masyarakat perlu sentiasa mematuhi undang-undang serta mengelakkan daripada melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi peraturan.


