Anggota polis dikhuatiri lemas kereta terbabas redah banjir

SEORANG anggota polis dikhuatiri lemas selepas kereta Perodua Bezza yang dinaikinya terbabas dalam parit ketika meredah banjir berhampiran Klinik Desa Giching di Sepang, Selangor malam tadi.

Mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dipercayai cuba berenang keluar dari parit berkenaan selepas kenderaan dinaikinya terbabas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.30 malam dan lokasi kejadian terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.

Katanya, pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 12.02 tengah malam.

“Pihak bomba masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang disambung hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, operasi mencari dan menyelamat membabitkan 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Sepang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam tadi dan ketika ini operasi SAR masih dijalankan.

Beliau turut mengesahkan mangsa merupakan anggota dari IPD Nilai.

Media sebelum ini melaporkan beberapa kawasan di daerah Sepang dinaiki air susulan hujan berterusan sejak malam semalam.

JBPM Selangor memaklumkan kawasan terjejas termasuk Kampung Salak Sepang dan Kampung Chinchang.

Sementara itu, Ahmad Mukhlis berkata, sepasukan anggota digerakkan untuk memantau keadaan banjir di Kampung Salak Sepang.

“Pemantauan turut dilakukan di kawasan berisiko seperti Kampung Labu Lanjut, Pintu Kunci Air Labu Lanjut dan Kampung Pinang Sebatang,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img