KERAJAAN sedang mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) secara tetap pada masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sedang dibincangkan susulan sambutan menggalakkan terhadap kepulangan perlumbaan berprestij berkenaan ke Malaysia selepas sembilan tahun.

“Kami menantikannya dan sedang berbincang,” katanya ketika menjawab pertanyaan sebuah stesen televisyen luar negara mengenai potensi F1 kembali dianjurkan secara tetap di Sepang.
Anwar berkata demikian ketika hadir menyaksikan perlumbaan Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di SIC, Sepang hari ini.
Penganjuran F1 di Sepang tahun ini menandakan kemunculan semula kejohanan berkenaan di Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.

Lebih 100,000 peminat dilaporkan hadir menyaksikan perlumbaan berkenaan, sekali gus menunjukkan minat tinggi terhadap kembalinya F1 ke litar terbabit.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia selama 18 tahun bermula 1999 hingga 2017, sebelum penganjuran itu dihentikan susulan peningkatan kos serta penurunan jumlah penonton, pengunjung dan pelancong asing.
Ketika itu, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan kontrak penganjuran selepas mendapati pulangan yang diterima semakin tidak sepadan dengan kos yang perlu ditanggung.
Bagaimanapun, penganjuran semula F1 di Sepang tahun ini membuka ruang untuk menilai semula potensi litar tersebut, termasuk kesan ekonomi yang boleh dijana menerusi acara sukan bertaraf antarabangsa.
Untuk musim 2026, Sepang dipilih sebagai lokasi alternatif bagi GP Bahrain selepas keadaan keselamatan di Asia Barat menyebabkan perlumbaan itu tidak dapat berlangsung di litar asalnya.
Kemunculan semula F1 itu sekali gus memberi peluang kepada Malaysia untuk menguji semula keupayaan SIC sebagai venue perlumbaan bertaraf dunia, selain menilai manfaat yang boleh diperoleh sekiranya acara berkenaan dianjurkan secara lebih konsisten pada masa akan datang.
Sementara itu, Perdana Menteri dalam hantaran di Facebooknya hari ini memaklumkan, beliau turut meluangkan masa meninjau kawasan G Hillstand di SIC yang menempatkan sebahagian besar pemegang tiket MADANI, selain menyantuni peminat F1 yang hadir menyaksikan perlumbaan.
Menurut beliau, suasana di kawasan berkenaan cukup meriah dengan kehadiran peminat, selain pemandangan litar yang menarik.
Beliau berkata, kemeriahan itu turut diserikan dengan penganjuran Karnival Litar Rasa MADANI yang menghimpunkan kira-kira 40 peniaga tempatan.
Katanya, pelbagai juadah dan minuman ditawarkan kepada pengunjung, termasuk snek serta makanan ringan untuk dinikmati sepanjang menyaksikan perlumbaan.
Perdana Menteri berkata, penganjuran karnival berkenaan bukan sahaja memberi kemudahan kepada peminat untuk mendapatkan makanan dan minuman, malah membuka peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan menerusi kehadiran orang ramai ke litar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta semua agensi yang terbabit dalam menjayakan karnival berkenaan.
Menurutnya, usaha itu secara tidak langsung memastikan kemeriahan penganjuran F1 turut memberi manfaat ekonomi kepada usahawan dan peniaga tempatan.





