PEMBUNUHAN tragis seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Yong Peng semalam, telah meragut impian mangsa yang bercita-cita mengikut jejak langkah arwah ibunya sebagai doktor.
Ibu saudara mangsa, Siti Nur Faeza Khyar, 45, berkata, Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal merupakan seorang remaja yang cemerlang dalam pelajaran dan mempunyai minat mendalam dalam bidang perubatan.
“Dia pernah bertanya dengan saya, bidang perubatan mana yang patut dia ceburi dan saya cadangkan pakar sakit puan kerana kita kekurangan doktor wanita dalam bidang itu.
“Dia letak cita-cita pertama untuk jadi doktor pakar sakit puan dan kedua sebagai pakar kesihatan awam sama macam arwah ibunya,” katanya ketika ditemui di Parit Selamat, Yong Peng hari ini, lapor Bernama.
Menceritakan detik mangsa ditemukan semalam, Siti Nur Faeza yang juga guru subjek Biologi di Sekolah Menengah Jalan Kota Tinggi berkata, dia dimaklumkan rakan-rakan Irene Sofiya kira-kira jam 5 petang mengenai kehilangan mangsa selepas tidak hadir ke kelas tambahan.
Katanya, dia bersama ibunya yang juga nenek mangsa serta rakan sekelas Irene Sofiya kemudian bergegas ke sekolah untuk melakukan pencarian sebelum mangsa ditemukan oleh rakannya dalam keadaan terbaring di atas lantai dewan sekolah dan berlumuran darah.
“Arwah terbaring dengan darah merata-rata di atas lantai. Masa itu, ketika ditemui, dia masih bernyawa, ada respons dengan angkat tangan dan mengeliat.
“Namun selepas saya telefon kecemasan, kemudian ambulans dan polis sampai, arwah sudah tidak ada (meninggal dunia) apabila diperiksa nadi dan tangan pun sudah mula sejuk,” katanya.
Siti Nur Faeza berkata, kejadian itu mengejutkan seluruh ahli keluarga dan berharap pelaku dikenakan hukuman setimpal.
Sementara itu, datuk mangsa, Khyar Abas, 69, meluahkan kesedihan atas pemergian cucunya yang dijaga sejak setahun selepas ibu Irene Sofiya meninggal dunia akibat kanser hati ketika mangsa berusia lapan tahun.
Mengimbas pertemuan terakhir dengan cucunya pada pagi kejadian, Khyar berkata, tiada sebarang perubahan pelik ditunjukkan mangsa ketika mereka bersarapan bersama.
Katanya, Irene Sofiya merupakan seorang anak yang baik serta disenangi rakan-rakan dan guru di sekolah.
“Boleh tanya kepada sesiapa sahaja sama ada rakan-rakan atau gurunya, arwah memang tidak pernah menyusahkan orang lain,” katanya sebak.





