MRT Laluan Putrajaya kembali pulih selepas gangguan akibat kabel dicuri

PERKHIDMATAN MRT Laluan Putrajaya kembali beroperasi seperti biasa mulai jam 1.27 petang tadi selepas bekalan kuasa berjaya dipulihkan susulan kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine.

Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerja pembaikan sementara dilaksanakan bagi memulihkan bekalan kuasa yang terjejas akibat kejadian berkenaan.

Menurutnya, berikutan pemulihan itu, tren yang sebelum ini terkandas di Stesen Taman Equine dapat meneruskan perjalanan dan operasi keseluruhan laluan kembali seperti biasa.

“Dengan pemulihan bekalan kuasa, tren yang sebelum ini terkandas di Stesen Taman Equine dapat bergerak semula dan operasi perkhidmatan kembali seperti biasa.

“Perkhidmatan tren alternatif yang disediakan sepanjang tempoh gangguan ditamatkan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kekerapan perjalanan tren masih diselaraskan secara berperingkat bagi memastikan operasi kembali stabil sepenuhnya.

Dalam pada itu, katanya, perkhidmatan bas perantara percuma yang disediakan ketika gangguan diteruskan sehingga jam 3 petang.

Rapid KL berkata, penyediaan perkhidmatan bas berkenaan akan dinilai semula berdasarkan keperluan operasi pada waktu berkenaan.

Bagi melengkapkan proses pemulihan infrastruktur, kerja pembaikan kabel akan diteruskan malam ini ketika waktu kejuruteraan.

Rapid KL turut bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian kecurian kabel yang menyebabkan gangguan perkhidmatan berkenaan.

“Rapid KL memohon maaf atas segala kesulitan dialami penumpang sepanjang tempoh gangguan dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama diberikan,” menurut kenyataan itu.

Penumpang dinasihatkan mendapatkan perkembangan terkini berkaitan operasi MRT Laluan Putrajaya menerusi saluran media sosial Rapid KL serta aplikasi perjalanan MyRapid PULSE.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here