PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira kerana dapat menyaksikan persembahan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil yang disifatan beliau begitu indah mengangkat kekayaan warisan seni Nusantara.
Melalui Facebook beliau, Anwar berkata, walaupun hujan semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan.
‘’Hebat Datuk Seri Siti, hebat juga semangat peminatnya. Tahniah kepada Datuk Seri Siti dan seluruh pasukan produksi atas persembahan yang cukup istimewa dan penuh jiwa. Saya sentiasa percaya seni dan budaya dekat di hati rakyat, justeru warisan ini mesti terus dihidupkan agar turut dinikmati dan dicintai generasi muda. Negara terus kita pacu maju, akar budaya dan jati diri bangsa tetap kita pelihara,’’katanya.

Pada konsert menyaksikan kehadiran kira-kira 63,000 peminat itu, Anwar dilihat memakai baju duduk bersebelahan suami kepada Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Siti Nurhaliza ketika di sela konsert berkata, kehadiran Anwar dan barisan menteri Kabinet lain amat dihargai meskipun memiliki jadual kerja yang padat.
“Terima kasih Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudi hadir memeriahkan konsert muzik tradisional terbesar saya,” katanya.
Konsert Gema Bumantara menampilkan barisan artis jemputan seperti Noraniza Idris, Haziq Rosebi serta penyanyi Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.
Persembahan selama tiga jam itu menampilkan lebih 30 lagu klasik yang mana Siti Nurhaliza turut mengetengahkan keunikan muzik tradisional menerusi persembahan tarian zapin, wayang kulit dan busana warisan.
Pada 10 Januari 2026, Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza berlangsung di lokasi sama dengan kehadiran seramai 65,000 peminat.





