SiSMED 2.0 perkukuh keupayaan organisasi hadapi krisis, lindungi reputasi

Oleh Bazli Razak

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh keupayaan pengurusan krisis dan komunikasi strategik organisasi menerusi penganjuran Simposium Strategik Pengurusan Krisis dan Media (SiSMED) 2.0 yang menghimpunkan 120 peserta di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, program selama tiga hari bermula 16 Oktober hingga hari ini itu memberi tumpuan kepada strategi pengurusan krisis, pembinaan naratif, perlindungan reputasi serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam komunikasi korporat.

Beliau berkata pengurusan krisis memerlukan kepimpinan strategik, komunikasi berkesan dan keupayaan bertindak pantas bagi memastikan reputasi organisasi terus terpelihara ketika berhadapan situasi mencabar.

“Krisis bukan sekadar cabaran kepada organisasi, tetapi juga peluang untuk membina kekuatan baharu melalui kepimpinan yang berwawasan, komunikasi berintegriti dan pendekatan yang mengutamakan kepentingan manusia.

Dr.Md Amin berkata keupayaan mengurus krisis bukan hanya bergantung pada tindakan selepas sesuatu isu tercetus, sebaliknya perlu dibina lebih awal melalui perancangan komunikasi, kesiapsiagaan organisasi dan penyelarasan maklumat yang tepat.

“Kepimpinan yang berkesan dalam situasi krisis penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara teratur, manakala penyampaian maklumat kepada masyarakat dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Kira-kira lebih 50 pengamal media dan peserta SiSMED 2.0 bergambar kenangan pada Malam Pesona Media sempena SiSMED 2.0 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Md Amin turut menyampaikan slot keempat bertajuk ‘Kepimpinan dan Ketahanan Reputasi: Memimpin Krisis, Melindungi Reputasi’ yang memberi tumpuan kepada kepakaran kepimpinan serta strategi membina ketahanan organisasi ketika berhadapan krisis

Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril berkata pengurusan komunikasi krisis memerlukan perancangan rapi, penyelarasan maklumat dan kerjasama erat antara organisasi dengan pengamal media bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat tepat serta tidak menimbulkan kekeliruan.

“Organisasi perlu bersedia menghadapi krisis sebelum sesuatu isu tercetus. Keupayaan menyampaikan maklumat dengan pantas, tepat dan berintegriti amat penting untuk mengurus persepsi awam serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap organisasi,” katanya.

Beliau berkata perkembangan teknologi digital dan penyebaran maklumat yang pantas turut menuntut pengamal komunikasi korporat meningkatkan kemahiran serta menguasai pendekatan baharu dalam mengendalikan isu yang boleh menjejaskan reputasi organisasi.

Menurutnya, penggunaan AI dalam komunikasi korporat juga membuka ruang kepada pendekatan pengurusan maklumat yang lebih sistematik, namun perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan memastikan ketepatan fakta dan pertimbangan manusia terus menjadi keutamaan.

SiSMED 2.0 menampilkan enam slot utama yang dirangka untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai pelbagai dimensi pengurusan krisis dan komunikasi media, termasuk perancangan hebahan, pengurusan persepsi awam serta strategi melindungi reputasi organisasi.

Program itu turut menampilkan Malam Pesona Media sebagai platform memperkukuh jaringan strategik dan hubungan profesional antara UPSI dengan pengamal media



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here