Anwar selar dakwaan Sanusi, siapa kata Kerajaan Persekutuan tak bantu Kedah?

DATUK Seri Anwar Ibrahim mempertahankan usaha pentadbiran beliau selaku Perdana Menteri membantu pembangunan di Kedah walaupun negeri itu ditadbir Pas.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Kerajaan Persekutuan hari ini membuka jajaran jalan baharu di Bukit Kayu Hitam dalam usaha merancakkan pembangunan Kedah dan Perlis.

“Kemudian saya baca media. Menteri Besar Sanusi, dia ada di Johor, dia hentam saya. Eh, aku pergi tolong kamu di Kedah tahu tak?” katanya ketika berucap pada ceramah PH di Simpang Renggam, malam ini.

Menurut Anwar, pentadbirannya tidak memberikan layanan berbeza kepada negeri yang ditadbir pembangkang, kerana pembangunan perlu dinikmati semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Itu tanggungjawab saya. Saya mahu bantu rakyat. Saya mahu bangunkan Malaysia,” jelas beliau.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah di Mersing malam tadi menyindir Perdana Menteri dengan mendakwa beliau seolah-olah menganggap semua negeri bergantung kepada Kerajaan Persekutuan selepas memperoleh kuasa mentadbir negara.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, tanggapan sedemikian tidak tepat kerana Kerajaan Persekutuan wujud hasil persetujuan negeri-negeri yang menyerahkan sebahagian kuasa melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Kemerdekaan 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow membidas dakwaan Muhammad Sanusi bahawa Putrajaya memberi layanan istimewa kepada Pulau Pinang menerusi peruntukan RM16 bilion bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Muhammad Sanusi menyifatkan dana sebesar itu sepatutnya diagihkan secara lebih saksama mengikut keperluan semua negeri termasuk Johor yang mempunyai jumlah penduduk lebih besar.

Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang menerima purata RM7.9 bilion setahun daripada Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025, sedangkan negeri itu menyumbang purata RM10.7 bilion hasil cukai kepada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh sama.

Sebaliknya, Kedah menerima peruntukan persekutuan yang lebih tinggi walaupun menyumbang hasil lebih rendah, namun menegaskan menegaskan kerajaan persekutuan perlu membantu semua negeri tanpa mengira fahaman politik selaras semangat federalisme.

Sementara itu, Anwar menyentuh kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan kesediaan parti itu membantu Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan Johor sekiranya ia gagal memperoleh majoriti mudah, esok.

Katanya, pendirian itu menunjukkan Pas sanggup mengetepikan perbezaan politik dengan UMNO semata-mata untuk menentang PH.

“Mereka bergabung lawan kita. Pas pun kata UMNO boleh disokong, asalkan bukan Anwar dan bukan PH. Politik macam ini, mana ada prinsip?,” katanya.

Pada 28 Jun lalu, Pas mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi calon BN di kerusi tidak ditandingi PN.

Abdul Hadi semalam memberitahu media bahawa Pas sanggup menyokong UMNO untuk mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam, bahkan sedia menyumbang kerusi sekiranya BN tidak peroleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img