Cabaran Ahmad Zahid supaya Anwar pecat menteri BN amat tidak wajar – Aminuddin

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan, cabaran yang dilontar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecat beliau dan menteri Barisan Nasional (BN) lain adalah amat tidak wajar.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, kenyataan yang dibuat Ahmad Zahid itu seolah-olah mencabar kuasa Perdana Menteri.

Menurut beliau, sekiranya benar ucapan itu dibuat oleh Ahmad Zahid, maka ia adalah satu cabaran.

“Saya rasa kenyataan itu tidak wajar diucapkan oleh seorang sahabat dan rakan baik kepada Perdana Menteri,” kata beliau ketika ditemui media semasa berkempen di Tanjung Agas di Linggi hari ini.

Perdana Menteri pada Ahad lalu memberi amaran mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut Anwar, pihak yang melakukan perkara berkenaan harus berundur daripada jawatan.

Hari ini, Ahmad Zahid dalam satu program di Seremban berkata, Perdana Menteri boleh memecat beliau dan menteri BN lain sekiranya tidak menyukai mereka.

Ahmad Zahid turut berkata, beliau tidak nampak sebarang sebab untuk mana-mana daripada lapan menteri BN untuk meletak jawatan, selepas Anwar berkata mereka yang menyerang rakan dalam kerajaan semasa kempen PRN Sembilan harus berundur.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, apa yang dibangkitkan Anwar sebelum ini lebih sebagai peringatan bagi memastikan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan tidak terjejas.

Katanya, isu sebenar bukan mengenai pemecatan, sebaliknya keperluan menghargai semangat persahabatan dan kerjasama dalam kerajaan.

Aminuddin turut mendakwa apa yang berlaku dalam hubungan PH-BN di Negeri Sembilan berpotensi berulang di peringkat Persekutuan sekiranya pendekatan sedemikian diteruskan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img