Anwar persoal atas alasan apa Aminuddin perlu dijatuhkan

DATUK Seri Anwar Ibrahim mempersoal alasan di sebalik usaha menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan, Aminuddin tidak berdepan sebarang dakwaan salah guna kuasa atau isu integriti, malah tiada sebarang justifikasi munasabah untuk mencetuskan krisis politik sehingga memaksa penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Tanah mana yang Tok Min (Aminuddin) curi? Projek balak mana yang diambil?.

“Kalau ada isu rakyat terabai, ada isu rasuah atau salah guna kuasa, kita boleh bincang. Tetapi apa sebabnya kerajaan ini hendak dijatuhkan?” soal beliau ketika berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan, di Seremban malam tadi, lapor BH.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, beliau sendiri beberapa kali mengingatkan semua pihak supaya mengekalkan kestabilan politik dan memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Tambah beliau, keutamaan kerajaan ketika ini menangani isu kos sara hidup, menyalurkan bantuan kepada rakyat serta memperkukuhkan ekonomi negara.

“Saya minta bersabar. Kita ada tanggungjawab untuk jaga makan minum rakyat, harga barang, salur (Sumbangan) Tunai Rahmah, SARA dan kebajikan rakyat.

“Belum sampai tiga tahun lagi penggal ini, tetapi ada yang tidak sabar dan terus mahu berebut kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga mempersoal motif sebenar pihak yang berusaha menggugat kestabilan politik Negeri Sembilan dan Johor, meskipun Kerajaan Persekutuan terus menyalurkan peruntukan pembangunan besar kepada kedua-dua negeri.

“Kalau Kerajaan Persekutuan tidak peduli Negeri Sembilan atau Johor, mungkin ada sebab untuk marah… tetapi saya tidak pernah dengar keluhan begitu. Jadi yang direbut itu apa sebenarnya?” soalnya lagi.

Anwar berkata, kerajaan meluluskan pelbagai projek strategik termasuk pembangunan pelabuhan baharu, pengembangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), projek Rapid Transit System (RTS), Maharani Energy Gateway serta pembangunan semula Forest City.

Semua projek itu katanya, melibatkan pelaburan dan peruntukan bernilai puluhan bilion ringgit demi manfaat rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Sebab itu saya hairan. Kita bekerja siang malam membawa pelaburan, membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat tetapi ada juga yang lebih berminat mencari jalan untuk merampas kuasa,” katanya.

Tambah Anwar lagi, beliau menerima amanah mentadbir negara bukan untuk mengumpul kekayaan atau mengejar kedudukan, sebaliknya memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan dan kemajuan ekonomi.

“Apabila diberi amanah, jalankanlah amanah itu sebaik-baiknya untuk rakyat,” tegasnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img