DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) ke-27 Malaysia-Brunei berjaya mencapai matlamat utama dalam memperkukuh jalinan persaudaraan serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata, hubungan istimewa antara Malaysia dengan Brunei akan terus diperkukuh demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat masing-masing.
Anwar turut menjunjung kasih kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah atas layanan mesra dan penuh kekeluargaan yang diberikan kepada beliau, isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta seluruh delegasi Malaysia.
“Patik mewakili Kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat mendoakan agar Kebawah Duli Tuanku kekal qarar memerintah Brunei Darussalam dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” kata beliau dalam hantaran itu.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah, kementerian serta agensi terlibat, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan dan petugas media yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran urusan sepanjang lawatan tersebut.
Pagi tadi, Anwar mengadakan pertemuan empat mata bersama Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman sebelum bersama-sama menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pengurusan bencana antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri tiba di Bandar Seri Begawan semalam bagi lawatan kerja dua hari bersempena dengan penganjuran ALC-27.





