Apakah UMNO akan benarkan Wawasan bertapak di Melaka?

SEJAK awal lagi penulis sudah menjangkakan kenyataan Presiden Wawasan Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa parti itu berhasrat untuk ‘mempertahankan’ kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  Bemban dan Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan mencetuskan perdebatan.

Ia kerana kerusi tersebut bukan milik Wawasan tetapi milik Perikatan Nasional (PN) yang diwakili oleh Bersatu pada PRN Melaka 2021. Cuma lagi calon yang menang di dua kerusi tersebut iaitu Dr.Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang) dan Dr.Mohd Yadzil Yaacub (Bemban) kini sudah menjadi ahli Wawasan.

Bagaimanapun ia tidak bermakna keadaan itu memberikan hak automatik kepada Wawasan untuk bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan. Apatah lagi perundingan sedang berjalan ketika ini hanya melibatkan Pas dan UMNO sahaja.

Walaupun Pas dianggap mewakili PN tetapi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah menggantung kegiatan PN sekaligus bermakna UMNO sebenarnya hanya berunding dengan Pas bukannya komponen lain dalam PN termasuk Wawasan.

Justeru sama ada Wawasan boleh bertanding di kedua-dua kerusi atau tidak, ia bergantung kepada ‘ehsan’ UMNO. Ia memandangkan UMNO dan BN berpeluang menang di situ jika berdasarkan kepada jumlah majoriti undi yang diperoleh Dr.Mohd Aleef dan Dr.Mohd Yadzili iaitu 530 undi dan 328 undi.

Bagaimanapun sumber memberitahu penulis,  UMNO tidak akan beri laluan mudah kepada Wawasan dan sejak awal lagi di Melaka, UMNO tidak terfikir untuk berunding dengan Wawasan, sebaliknya hanya dengan Pas.

Lagipun sentimen dalam UMNO dikatakan menolak Wawasan khususnya Hamzah yang dilihat boleh menggugat peluang Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menjadi calon Perdana Menteri jika BN dan PN bekerjasama pada PRU-16 nanti.

Tambahan pula, UMNO melihat Melaka adalah kubu parti itu justeru sudah pasti mereka bimbang kehadiran Wawasan boleh menjadi persaing baharu apatah lagi Wawasan bekerjasama dengan Pas. Atas sebab itulah UMNO awal-awal lagi menyatakan mereka akan mempertahankan 21 kerusi daripada 28 kerusi yang dimenangi.

Mereka hanya mahu berunding dengan Pas untuk kerusi tertentu sahaja. Itupun belum tentu mereka akan korbankan mana-mana kerusi DUN kecuali jika Pas bersedia membuat pertukaran dengan kerusi Parlimen disandangnya.

UMNO sedia bekerjasama dengan Pas kerana  Pas ada  pengaruh dan miliki kekuatan tetapi Wawasan belum terbukti mempunyai apa-apa kelebihan yang melayakkan mereka  duduk semeja bersama UMNO.

Lagipun adakah penyokong UMNO akan beri sokongan kepada calon Wawasan begitu juga penyokong Pas? Ia memandangkan dalam kedua-dua parti ada sentimen bahawa Wawasan ‘hanya menyibuk’ – jadi sebelum Wawasan menzahirkan bertanding mana-mana kerusi di Melaka, fikirlah dulu kerana tak kan UMNO akan benarkan parti bekas pemimpinnya bertapak di kubu mereka (UMNO?



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here