Arkitek JKR mengaku tidak bersalah buat tuntutan elaun perjalanan palsu

SEORANG arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu berjumlah RM1,494.50, dua tahun lalu.

Tertuduh, Suhaili Othman, 55, yang ketika itu merupakan arkitek penyelia JKR Kedah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, Suhaili didakwa mengemukakan tuntutan elaun perjalanan bagi Jun 2024 berjumlah RM894.50 bagi menghadiri mesyuarat arkitek JKR di sebuah resort di Ayer Keroh, Melaka dari 11 hingga 14 Jun 2024.

Bagaimanapun, tertuduh didakwa membuat tuntutan tersebut dengan menyatakan beliau menggunakan kenderaan sendiri sedangkan sebenarnya menggunakan kenderaan lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 8 Julai 2024 di Bahagian Senibina JKR Kedah di daerah Kota Setar.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengemukakan tuntutan elaun perjalanan bagi Julai 2024 berjumlah RM600 untuk menghadiri sesi perbincangan bersama pengarah Bahagian Dasar dan Pengurusan Korporat pada 15 dan 16 Julai 2024.

Pertuduhan menyatakan tertuduh turut menuntut elaun penggantian tiket penerbangan dan mengisytiharkan penggunaan kenderaan sendiri sedangkan beliau menggunakan kenderaan lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 5 Ogos 2024 di lokasi yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nurul Atika Ab Rashid, manakala tertuduh diwakili peguam Yusmadi Yusoff dan Durratul ‘Ain Mahmud Morshidi.

Nurul Atika memohon jaminan sebanyak RM12,000, namun pihak pembelaan merayu agar jumlah lebih rendah ditetapkan dengan alasan tertuduh merupakan pencari nafkah tunggal yang menanggung isteri tidak bekerja serta empat orang anak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan 4 Mac depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh telah membayar jaminan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img