PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa negara itu telah melancarkan serangan berskala besar terhadap Venezuela dan menahan Presidennya, Nicolas Maduro bersama isterinya sebelum membawa mereka keluar dari negara tersebut.
Trump berkata dalam satu hantaran di Truth Social bahawa AS berjaya melaksanakan serangan terhadap Venezuela dan pemimpinnya, dengan Maduro ditangkap bersama isterinya dan diterbangkan keluar dari negara itu.

Menurut Trump, penahanan Maduro dilakukan dengan penyelarasan bersama agensi penguatkuasaan undang-undang AS, dan beliau akan mengadakan sidang media di kediamannya di Florida pada jam 11 pagi waktu tempatan.
Bagaimanapun, Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez, berkata kerajaan tidak mengetahui keberadaan Maduro atau isterinya, Cilia Flores.
Dalam satu rakaman audio yang disiarkan di televisyen kerajaan, Rodriguez menuntut bukti segera bahawa Presiden Nicolas Maduro dan Wanita Pertama masih hidup.
Menteri Pertahanan Venezuela pula menuduh tentera AS menyasarkan kawasan perumahan dalam serangan tersebut dan mengumumkan penempatan besar-besaran semua keupayaan ketenteraan negara itu.
Menteri berkenaan, Vladimir Padrino-Lopez, mendakwa pasukan penceroboh telah menyasarkan kawasan berpenduduk dengan peluru berpandu dan tembakan dari helikopter, sambil memaklumkan pihak berkuasa sedang mengumpul data korban.
Letupan kuat serta bunyi deruman pesawat dilaporkan kedengaran di Caracas bermula sekitar jam 2 pagi waktu tempatan.
Pada Isnin, Trump berkata AS turut memusnahkan sebuah dermaga tentera laut yang disyaki digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah, menandakan serangan darat pertama AS ke atas wilayah Venezuela.
AS dilaporkan terus meningkatkan tekanan ke atas Venezuela melalui sekatan minyak, pengerahan kapal perang di Caribbean serta rampasan kapal minyak, sementara Trump menuduh Maduro mengetuai rangkaian dadah, dakwaan yang dinafikan oleh Presiden Venezuela itu.


