Askar AS berjudi guna maklumat sulit termasuk operasi tangkap Presiden Venezuela, raih RM1.6 juta

SEORANG anggota Pasukan Khas Tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa oleh Jabatan Kehakiman Negara itu kerana menggunakan maklumat sulit kerajaan untuk membuat pertaruhan dalam talian, sekali gus meraih keuntungan lebih AS$409,000 (kira-kira RM1.6 juta).

Tertuduh, Gannon Ken Van Dyke, yang bertugas di Fort Bragg, Carolina Utara, didakwa membuat taruhan di platform ramalan Polymarket berdasarkan maklumat rahsia berkaitan operasi ketenteraan AS.

Menurut pihak pendakwa, Van Dyke mempunyai akses kepada maklumat sulit mengenai operasi dikenali sebagai “Operation Absolute Resolve”, yang melibatkan penahanan pemimpin Venezuela, Nicolás Maduro.

Beliau didakwa mula membuat pertaruhan sejak Disember 2025, termasuk mengenai kemungkinan AS “menyerang” Venezuela dan masa penyingkiran Maduro daripada jawatan, sebelum maklumat tersebut diketahui umum.

“Ini adalah bentuk jelas insider trading dan menyalahi undang-undang persekutuan,” menurut kenyataan Jabatan Kehakiman.

Pendakwa raya turut memaklumkan bahawa Van Dyke melabur lebih AS$33,000 (RM160,000) dalam pertaruhan tersebut dan menggunakan platform itu sekurang-kurangnya 13 kali untuk menjana keuntungan.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan beberapa pertuduhan serius termasuk penyalahgunaan maklumat sulit kerajaan, penipuan komoditi, penipuan komunikasi (wire fraud) dan transaksi kewangan haram.

Dalam kenyataan berasingan, Polymarket memaklumkan pihaknya telah mengesan aktiviti mencurigakan dan merujuk kes itu kepada pihak berkuasa serta bekerjasama dalam siasatan.

Kes ini turut mencetuskan kebimbangan mengenai potensi penyalahgunaan maklumat dalaman dalam platform “prediction market”, khususnya melibatkan isu politik dan ketenteraan.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump, ketika ditanya mengenai perkara itu berkata beliau belum dimaklumkan secara terperinci namun akan meneliti isu berkenaan.

Perkembangan ini hadir ketika industri platform ramalan di AS berkembang pesat, namun pada masa sama berdepan kritikan berhubung risiko aktiviti insider trading dalam kalangan pengguna yang mempunyai akses kepada maklumat sensitif.


IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img