KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil tindakan menggantung dan membatalkan 94 Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) sejak 1 Mac lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Azman Adam berkata, tindakan itu diambil selepas pengesanan yang dibuat melalui Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang diperkenalkan sebelum ini.
Menurutnya, selain menggantung atau membatalkan lesen berkenaan, pihaknya turut menjalankan tindakan penguatkuasaan lain terhadap semua syarikat terbabit.
Kata beliau, melalui sistem berkenaan, kerajaan berupaya membuat pengesanan khususnya daripada kilang penapis, pengilang pembungkus, pemborong, peruncit, dan pengguna melalui penggunaan aplikasi eCOSS.
“Pada tahun lepas sahaja KPDN mengesan sebanyak 27 pihak pembungkus diambil tindakan termasuk gantung kuota, batalkan kuota dan membatalkan lesen selain daripada tindakan perundangan biasa, iaitu pengkompaunan atau pun kita bawa kepada proses pendakwaan di mahkamah.
“Di peringkat pemborong dan peruncit, ada 94 pihak yang KPDN sudah ambil tindakan gantung, batal lesen selain tindakan penguatkuasaan yang biasa,” katanya dalam sidang media pencapaian penguatkuasaan Ops Tiris 2025 hingga Mac 2026 di Putrajaya hari ini.
Azman memberitahu, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan KPDN itu bertujuan memastikan isu dan aduan yang dibangkitkan pengguna termasuk kesukaran mendapatkan minyak masak berpeket, dapat ditangani.
Beliau berkata, selepas pelaksanaan tindakan sedemikian, termasuk meningkatkan kekerapan penguatkuasaan dengan penambahbaikan melalui eCOSS, selain tindakan punitid tegas, aduan berkaitan kesukaran untuk mendapatkan minyak masak peket juga mula berkurangan.
Katanya, pihaknya akan terus menguatkuasakan pematuhan terhadap Akta Kawalan Bekalan termasuk memastikan tidak berlaku elemen penyorokan bagi tujuan manipulasi harga serta penyelewengan.
“Kebanyakan kes yang melibatkan Akta Kawalan Bekalan untuk minyak masak ini, membabitkan modus operandi mereka kumpul bahan berkenaan daripada pemborong-pemborong, daripada pembungkus, pemalsuan dokumen dan sebagainya.
“Ada juga yang melibatkan dia beli, dia pungut, dia kutip, dan dijual sebagai minyak masak terpakai. Jadi inilah yang pentingnya terhadap pematuhan yang kita hendak buat melalui naziran dan juga pengauditan,” katanya.
Pada masa yang sama, Azman berkata, larangan penjualan minyak masak sawit tulen kemasan polibeg 1 kilogram kepada bukan warganegara telah menghasilkan tiga kes dengan nilai rampasan RM15,115.
“Minyak masak ini membabitkan kos subsidi yang tinggi untuk negara kita. Setiap bulan, kerajaan memberikan 60 juta peket minyak masak tersedia untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Azman berkata, eCOSS juga tidak membenarkan warga asing berdaftar untuk menjual minyak masak subsidi di kedai runcit milik mereka.


