KERAJAAN MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham Kapten Zainol Afiq serta keluarga mangsa lain dalam tragedi helikopter terhempas di Ulu Baram, Sarawak semalam diberikan pembelaan sewajarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau baru sahaja menghubungi Bee Sham Ahmad, bapa kepada Allahyarham Kapten Zainol Afiq bagi menyampaikan salam takziah daripada beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga kepada seluruh waris Allahyarham.
“Lantaran itu, Kerajaan MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain didukung dan diberi pembelaan sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Anwar berkata, beliau turut tersentuh ketika mengenang kembali pengalaman Allahyarham yang pernah bertanggungjawab menerbangkannya ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Tatkala menghimbau kenangan sewaktu Allahyarham bertanggungjawab menerbangkan saya ketika kempen PRU-15 lalu menjadikan saya sangat tersentuh dan mengesankan sanubari yang terdalam,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kehilangan itu amat berat untuk ditanggung, khususnya oleh keluarga dan anak-anak Allahyarham yang masih kecil.
Beliau menitipkan doa agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada keluarga Allahyarham untuk terus menghadapi hari-hari mendatang.
Anwar turut menegaskan bahawa ingatan dan doa beliau bersama keluarga serta waris semua mangsa.
“Semoga Allah SWT mengasihani mereka, mengampun segala dosa mereka, melimpahkan rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan para syuhada, al-Fatihah,” katanya.
Beliau berkata Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti semua mangsa kepada negara.





