DATUK Mohd Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat emas kelapan buat kontinjen negara selepas muncul juara acara keirin lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Velodrom Izu, hari ini.
Pelumba berusia 38 tahun itu mempamerkan pecutan bertenaga pada selekoh terakhir untuk memintas pelumba China, Li Zhiwei yang terlebih dahulu menguasai kedudukan hadapan.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Azizulhasni mengulangi kejayaan memenangi acara sama pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang turut beraksi dalam perlumbaan akhir terpaksa berpuas hati di tempat kelima.
Pingat perak menjadi milik Li Zhiwei, manakala seorang lagi pelumba China, Xie Han meraih gangsa.
Azizulhasni menempah tiket ke final selepas muncul pelumba terpantas dalam saringan kedua pada peringkat separuh akhir.
Shah Firdaus pula mengesahkan tempat di final selepas menduduki tangga ketiga dalam saringan pertama.





