PEMUDA UMNO Johor menasihatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi menjadi orang parti yang patuh dan setia selepas menyatakan ingin membuat pengumuman penting pada 27 Jun ini.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros, berkata kesetiaan dan kepatuhan kepada parti bukan semasa ada jawatan sahaja atau mengikut keadaan semasa.
“Ketika kita tidak lagi ada apa-apa jawatan, balaslah kesetiaan dan kepatuhan yang parti pernah bagi kepada kita dengan sebaiknya.
“Bukan dengan ugutan. Bukan dengan hasutan,” katanya lapor FMT.
Terdahulu, Puad berkata ingin membuat pengumuman penting pada hari penamaan calon PRN Johor 27 Jun ini selepas risau dengan perkembangan terkini UMNO negeri.
Melalui Facebook beliau,ADUN Rengit itu berkata, beliau akan melakukan ‘keberanian politik’ untuk meneruskan perjuangan.
Dalam pada itu, Azleen berkata Puad seharusnya menunjukkan contoh baik kepada generasi muda dalam UMNO berhubung makna sebenar setia dan patuh kepada parti.
“Sesungguhnya parti ini milik semua,” katanya.






