Ibu, anak disahkan dua maut nahas di Kulai – Polis

POLIS mengesahkan dua mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan lori di Jalan Lestari Hijau 1, Taman Lestari Hijau, Kulai semalam adalah ibu dan anak lelaki berusia 11 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kedua-dua mangsa menaiki SUV jenis Proton X70 bersama tiga lagi ahli keluarga berusia antara 11 hingga 60 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila SUV dipandu wanita berusia 36 tahun itu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori tanpa muatan yang dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun.

“Akibat kemalangan, pemandu SUV dan anak lelakinya yang duduk di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Tiga lagi penumpang cedera dan menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Fauzi Che Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.36 malam sebelum menggerakkan seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai serta BBP Pekan Nenas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, dua mangsa ditemukan tersepit di dalam SUV sebelum operasi menyelamat dijalankan bagi mengeluarkan mereka.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img