SEORANG bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang berusia 15 tahun.
Tertuduh berusia 47 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N. Kanageswari selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya yang ketika kejadian berusia 14 tahun tiga bulan pada Julai 2024 dan 21 Februari 2026 di bilik tidur sebuah rumah di Port Dickson.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan serta pengawasan polis jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 16 April depan bagi pembentangan fakta kes dan hukuman.
Dalam prosiding berasingan, seorang lelaki turut mengaku bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan mencederakan dua anak kandungnya menggunakan pisau pemotong ayam pada 6 April lalu.
Tertuduh, L. Gunasekaran, 46, didakwa mencederakan anak lelaki berusia 14 tahun dan anak perempuan berusia 16 tahun pada pukul 5 petang di Rumah Pangsa Lobak, Seremban.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 362A Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut menetapkan 16 April ini untuk pembentangan fakta kes dan hukuman bagi tertuduh tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


