
WAH! Lantang sekali bapak Presiden Indonesia Prabowo Subiato memberi amaran keras akan mendedahkan nama syarikat asing yang didakwa terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Beliau berkata, pemerintah negara itu akan menamakan firma berkenaan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai penghinaan terhadap republik berkenaan.
Tegasnya, Indonesia tidak boleh terus dipandang rendah atau diganggu oleh pihak luar, meskipun rakyatnya dikenali sebagai masyarakat yang sopan dan sabar.
“Dan bagi negara-negara tertentu yang suka menghina bangsa Indonesia. Pada saatnya kita akan dedahkan (nama) syarikat-syarikat anda. Bangsa Indonesia, bangsa yang santun. Bangsa Indonesia, bangsa yang sabar. Bangsa Indonesia sering dihina. Tapi bangsa Indonesia percayalah tidak mahu diganggu terus-menerus,” katanya ketika mesyuarat Kabinet di Istana Merdeka, Jakarta, pada Rabu (21 Oktober).
MUNGKIN Prabowo yang sentiasa sahaja menggunakan ayat ‘’saya mendapat laporan’, ‘’saya menerima laporan’ dan ‘’ada laporan diberikan kepada saya’’, kali ini tidak diberi laporan oleh anggota Kabinet atau pegawai kanan kerajaan.
Sebenarnya sama ada di Malaysia mahupun Singapura sudah lama meminta supaya Indonesia mendedahkan nama syarikat-syarikat yang terlibat dalam pembakaran hutan di negara republik itu sehingga mencetuskan jerebu saban tahun tetapi sampai ke hari ini Indonesia tidak melakukannya. Apa yang Prabowo tunggu…dedah sahajalah!
Prabowo tidak payahlah membuat ‘gertak sambal’ kerana kalaulah Indonesia benar-benar tegas sudah lama nama-nama syarikat itu didedahkan. Apakah sememangnya Prabowo ingat rakyat Malaysia atau Singapura akan bersimpati dengan syarikat terlibat atau berasa takut dengan ancaman Prabowo mahu mendedahkan syarikat berkenaan. Silakan sahaja bapak, enggak usah basa basi lagi!
Prabowo berkata, pendedahan itu sebagai tindak balas terhadap penghinaan yang dilakukan ke atas Indonesia.
Persoalannya siapa yang menyebabkan Indonesia dihina? Sejak bila pula negara lain menghina Indonesia? Tak kan kritikan atau teguran dianggap menghina? Kalaupun berlaku penghinaan itu ia bukan dituju kepada rakyat Indonesia atau negara republik itu tetapi ditujukan kepada Prabowo dan Kabinetnya yang gagal secara total menguruskan masalah kebakaran hutan!
Berikutan kegagalan itulah rakyat Indonesia khususnya di Sumatera dan Kalimantan sengsara. Setakat ini sebanyak 314,124 orang disahkan terkena jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ISPA) dan daripada jumlah itu 189,000 orang di Kalimantan.
Malah derita itu kemudiannya ‘dikirim’ ke Malaysia dan Singapura sehingga kehidupan rakyat kedua-dua negara terganggu termasuk sekolah terpaksa ditutup, justeru tidak masuk dek akal langsung apabila Prabowo berkata, :
‘’Indonesia tidak boleh terus dipandang rendah atau diganggu oleh pihak luar, meskipun rakyatnya dikenali sebagai masyarakat yang sopan dan sabar.’’
Bapak Presiden, siapa yang ganggu siapa sebenarnya ini? Laporan mana yang bapak baca? Laporan dari mana yang bapak terima? Yang mengganggu itu bukan negara luar, yang memandang rendah Indonesia bukan Malaysia atau Singapura tetapi bapak dan Kabinet bapak yang menyebabkan gangguan kepada kami.
Bapak dan Kabinet Bapak menyebabkan Indonesia dipandang rendah oleh masyarakat antarabangsa kerana kegagalan menguruskan kebakaran hutan di negara bapak sendiri.
Paling mengecewakan apabila menteri bapak yang berkata, ‘’Kalau enggak ada asap kita kirim oksigen’’…betul kami perlu oksigen akibat jerebu tetapi oksigen itu bukan dari Indonesia tetapi terpaksa ‘disedut’ di hospital-hospital negara kami berikutan gangguan pernafasan .
Selain itu Prabowo juga berkata, ‘’Bangsa Indonesia, bangsa yang sabar. Bangsa Indonesia sering dihina. Tapi bangsa Indonesia percayalah tidak mahu diganggu terus-menerus’’.
Bapak Prabowo, cuba fikir betul-betul apakah rakyat Malaysia dan Singapura tidak sabar apabila bersedia menerima ‘satu lagi musim baru’ sejak 30 tahun lalu iaitu ‘jerebu’? Apakah Malaysia dan Singapura tidak sabar apabila mengikut pakar ekonomi, Malaysia rugi RM20 juta hingga RM50 juta sehari? Manakala Singapura pula mengunjurkan mereka akan mengalami kerugian keseluruhan 2026 S$3.2 bilion hingga S$3.9 bilion akibat jerebu!
Apakah Malaysia tidak sabar sebab saban tahun terus menawarkan bantuan untuk memadamkan kebakaran di negara Bapak Prabowo? Tetapi sehingga hari ini asyik dok berunding tak habis-habis, walaupun Malaysia sudah bersedia sepenuhnya untuk berbuat demikian.
Tidak perlulah Prabowo cuba mencari alasan akibat kegagalan kepimpinannya menguruskan kebakaran hutan di Indonesia. Kalau beliau berkata,’’bangsa Indonesia tidak mahu diganggu terus menerus’ maka selesaikan masalah tersebut.
Yang diganggu terus menerus bukan Indonesia tetapi Malaysia dan Singapura. Setiap hari bangun tidur lihat luar rumah ‘berkabus macam duduk di negara Eropah’’ tetapi bila keluar rumah hakikatnya ia adalah asap!
Bapak Prabowo cukup-cukuplah menyalahkan negara lain, kalaupun tidak mahu bersimpati kepada rakyat negara jiran, kasihanilah rakyat Indonesia sendiri khususnya di Sumatera dan Kalimantan.
Dedahkan sahaja nama-nama syarikat terlibat tidak kisahlah dari Malaysia dan Singapura sekalipun. Percayalah rakyat mahupun kerajaan serta ahli politik kedua-dua negara sama sekali tidak akan bersimpati dengan syarikat-syarikat tersebut.
Kenakan hukuman seberat-beratnya, tuntutlah ganti rugi daripada mereka untuk dibayar kepada penduduk-penduduk di wilayah Indonesia yang terjejas. Lagipun tidak ada pekerjaaan yang menawarkan’ upah Rupiah700,000 untuk mengupas bawang’’ –betul tak?
Kesimpulannya sama-sama kita tunggu sejauh manakah Prabowo akan bertindak mendedahkan nama-nama syarikat terlibat, walaupun maklumat itu dalam chatgpt pun boleh diperolehi. Berdasarkan situasi itu tahulah kita sejauh mana kemampuan Kabinet Indonesia di bawah Prabowo dalam menyelesaikan isu kebakaran hutan …jangan harap sangat.
Sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT mendatangkan hujan bagi menamatkan kebakaran hutan yang berlaku di negara itu…tetapi janganlah pulak nanti ada menteri Indonesia kata,…’’kita kirimkan hujan kepada negara jiran’’…jenuh!





