POLIS mengesahkan kejadian seorang wanita menceroboh sebuah rumah di Kampung Melayu Subang yang tular dalam media sosial kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu menerusi Balai Polis Kampung Baru Subang pada jam 10.41 malam.
“Wanita terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati suspek gagal memberikan keterangan jelas dan dipercayai tidak waras,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, wanita itu kemudian dirujuk ke hospital bagi pengesahan status kesihatan mental dan kini dirawat di wad psikiatri sebuah hospital di Selangor.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati keluarga wanita terbabit.
“Masyarakat juga diingatkan supaya memastikan rumah dikunci dengan selamat serta membawa anak kunci bersama ketika keluar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Terdahulu, tular satu video seorang wanita menceroboh sebuah rumah dan duduk di sofa sambil menghisap rokok.


