![]()
KERJASAMA UMNO dan Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dinilai berdasarkan kesediaan kedua-dua parti untuk berkongsi kuasa secara adil, bukan sekadar melaungkan perpaduan Melayu ketika berdepan kepentingan pilihan raya.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, keikhlasan kerjasama itu perlu dibuktikan melalui pengorbanan timbal balik, termasuk kesediaan Pas memberi ruang kepada UMNO di negeri yang dikuasainya.
Beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi sering mendedahkan percanggahan antara retorik penyatuan ummah dengan kepentingan politik masing-masing, khususnya apabila kedua-dua parti perlu menentukan kawasan yang bakal ditandingi.
“Jangan sampai perpaduan Melayu menjadi nama yang indah bagi sebuah projek peluasan kuasa politik,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini mengenai hubungan UMNO-Pas menjelang PRN Melaka.

Menurutnya, keputusan PRN Melaka 2021 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi, memberikan UMNO kedudukan tawar-menawar yang lebih besar di negeri itu.
Bagaimanapun, beliau berpandangan ujian sebenar kerjasama berkenaan bukan sekadar kesediaan UMNO memberi ruang kepada Pas di Melaka, sebaliknya sama ada Pas turut bersedia mempertimbangkan konsesi kepada UMNO di negeri yang menjadi kubu kuatnya, termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Pengorbanan sebenar bukan menyerahkan sesuatu yang kita tidak mampu miliki. Pengorbanan sebenar ialah berkongsi sesuatu yang kita berupaya pertahankan,” katanya.
Dr Ahmad Zaharuddin berkata, dominasi PN dalam pilihan raya negeri pada 2023, termasuk kemenangan kesemua 32 kerusi DUN Terengganu, 43 daripada 45 kerusi di Kelantan dan 33 daripada 36 kerusi di Kedah, menunjukkan besarnya pengaruh gabungan itu di negeri berkenaan.
Justeru, katanya, sekiranya kerjasama UMNO-Pas mahu dibina atas asas penyatuan Melayu, prinsip perkongsian kuasa perlu dilaksanakan secara timbal balik dan tidak hanya menguntungkan satu pihak.
Beliau turut menyifatkan rundingan kerusi sebagai petunjuk bahawa persetujuan untuk bekerjasama tidak semestinya bermakna kedua-dua pihak mempunyai persefahaman menyeluruh mengenai kepentingan politik masing-masing.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya UMNO dan Pas membentuk perjanjian kerjasama pada peringkat nasional yang merangkumi pembahagian kerusi, prinsip mempertahankan penyandang, mekanisme pertukaran kawasan, tanggungjawab jentera serta penyelesaian pertikaian menjelang pilihan raya.
Menurutnya, perjanjian sedemikian penting bagi mengelakkan rundingan berulang yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati, perselisihan dalaman dan tindakan yang menjejaskan kerjasama antara parti.
“Jika UMNO memberi laluan kepada Pas di Melaka, Pas mesti bersedia mempertimbangkan konsesi setara kepada UMNO di negeri pengaruhnya,” katanya, sambil menegaskan bahawa pengorbanan itu tidak semestinya melibatkan jumlah kerusi yang sama, tetapi perlu mempunyai nilai politik yang munasabah.
Dr Ahmad Zaharuddin berkata, perpaduan Melayu sepatutnya menjadi asas untuk memperkukuh pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat, bukannya semata-mata mekanisme membahagikan kawasan pilihan raya.
Beliau menegaskan kerjasama politik bukan sesuatu yang salah, namun tanpa prinsip dan kesediaan berkongsi kepentingan, persefahaman antara parti berisiko menjadi sementara serta menjejaskan keyakinan rakyat.
“Jika semua itu tidak wujud, jangan terlalu ghairah mengumumkan penyatuan. Kerana yang sedang disatukan mungkin bukan orang Melayu, tetapi sekadar kepentingan dua parti yang takut kehilangan kerusi,” katanya.





