BEKAS pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas tiga pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan kontrak perkhidmatan dengan mencadangkan sebut harga syarikat milik adiknya berjumlah RM3,620.
Ismail Saari, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam sejurus pertuduhan dibacakan, lapor Berita Harian.
Tertuduh ketika bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Kewangan) di JKR Daerah Seremban didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu tiga kontrak perkhidmatan bernilai RM3,620 bagi syarikat milik adiknya.
Tertuduh mencadangkan sebut harga syarikat berkenaan sebagai pembekal bagi ketiga-tiga perkhidmatan kepada jurutera JKR Daerah Seremban.
Kesalahan dilakukan pada 6 Mac, 20 Ogos dan 10 Oktober 2018 di JKR Daerah Seremban.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syairah Aqilah Khalil memohon wang jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan.
Peguam Alif Ahmad Tarmizi memohon jaminan munasabah kerana anak guamnya kini bekerja sebagai penghulu di Jelebu dengan pendapatan RM5,000 sebulan dan menanggung isteri serta seorang anak berusia 13 tahun.
Tertuduh juga menanggung bapa mentua yang terlantar sakit serta ibu bapa yang uzur.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM9,000 dengan syarat tambahan melapor diri di Pejabat SPRM berdekatan setiap bulan, menyerahkan pasport jika ada dan dilarang mengganggu saksi.
Sebutan semula bagi serahan dokumen pada 6 April.


