BEKAS pemain bola sepak Kelantan dan rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini, atas tuduhan melarikan pemilik kedai emas di Kampung Palekbang, Tumpat pada Mei tahun lalu.
Cik Hisammudin Hassan, 51, bekas penyerang bola sepak Kelantan dan Saufi Ariffin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melarikan Marzuki Mustapha secara paksa dengan niat menyebabkan mangsa dikurung dengan sulit dan salah pada jam 7.20 pagi di tepi jalan di Kampung Palekbang, Tumpat pada 20 Mei tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan dan Cik Hisammudin diwakili peguam Heather Marie Anthony manakala Saufi tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan bagi setiap tertuduh, namun mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM12,000 setiap seorang dan menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan sedang mengesan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang pemilik kedai emas lelaki berusia 44 tahun di Palekbang pada 20 Mei tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, semua suspek dipercayai bersembunyi dalam negeri dan usaha memburu mereka dipertingkatkan.


